Penulis

Mohd Zulfadli bin Suddin

Beliau berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan pemasaran online. Mempunyai pelbagai jenis perniagaan di Internet sejak tahun 2005 dan menjadi jurulatih (trainer) dalam bidang pemasaran online.

mohd zulfadli ceoAntara pengalaman beliau yang lain; pernah dilantik sebagai ketua jurulatih pemasaran Internet di syarikat Irfan Khairi Sdn Bhd (2012 – 2014), mengemudi bahagian pemasaran syarikat FINE Training Academy Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (2014 – 2015) dan kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Kumpulan di FINE Prima Holdings Sdn Bhd (2015).

Atas pengalaman yang ada, beliau kemudiannya telah diberi kepercayaan untuk mengetuai salah sebuah daripada anak syarikat FINE Prima, iaitu FINE JOTS Sdn Bhd bermula November 2015 sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Beliau juga merupakan seorang penulis yang menggunakan pelbagai medium penulisan seperti ebook, buku, majalah online dan juga blog. Pernah juga menulis di majalah-majalah dalam pasaran yang berkaitan dengan perniagaan. Topik-topik utama penulisannya adalah perniagaan, keusahawanan, IT untuk bisnes dan pemasaran online.

Prinsip beliau dalam perniagaan cukup mudah iaitu membina asas (tapak) yang kukuh dan seterusnya syarikat akan lebih mudah untuk berkembang. Beliau juga percaya mempunyai sebuah pasukan yang berilmu, cekap dan produktif, juga akan memberi sumbangan ke arah kemajuan dan prestasi syarikat.

Dengan mengamalkan konsep pentadbiran gaya moden, terbuka dan berteknologi tetapi tetap menerapkan nilai-nilai ketimuran, beliau percaya ahli pasukan (tenaga kerja) akan lebih produktif dan akan menghadapi tekanan kerja yang lebih positif dalam melakukan tugasan.

Dalam kepimpinan, beliau mengamalkan konsep “Lead to Lead”, iaitu memimpin untuk melahirkan pemimpin. Beliau mahu mewujudkan barisan-barisan kepimpinan yang mampu mengemudi unit dan pasukan masing-masing dalam mencapai visi dan misi syarikat.

Projek terkini yang beliau sedang bangunkan bersama pasukannya ialah FineValley, sebuah ‘sekolah online’ yang membolehkan sesiapa sahaja menyertainya untuk mempelajari apa sahaja topik pada bila-bila masa dan dari mana sahaja.